KEMBALI KE ARTIKEL

8 Wanita Malaysia Yang Berada Di Puncak Dalam Kelas Tersendiri

Mac 8, 2021

Wanita telah membuktikan dunia bahawa kita juga boleh menggegar dunia dan mencipta sejarah. Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac, mari kita kenali ikon-ikon dalam negara kita:

Dato’ Nicol Ann David

nicol

(Foto: Worldsquash.org)

Dengan rekod 51 kemenangan berturut-turut, juara 9 kali bagi Kejohanan Skuasy Asia, juara 8 kali Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia, juara 5 kali Kejohanan Skuasy Terbuka British, 151 bulan sebagai 10 pemain teratas dalam dunia DAN (tarik nafas) 108 bulan sebagai pemain no.1 dunia, tidak hairanlah beliau diundi sebagai Atlet Terbaik Sepanjang Zaman (The World Games Greatest Athlete of All Time). Prestasi beliau yang konsisten dan pada kelas tersendiri membuatkan kita bangga sebagai rakyat Malaysia dan pantas untuk #doneclaim di media sosial antarabangsa.

Hanna Alkaf

hanna

(Foto: The Star)

Hanna membuat kita semua kagum dengan novel debut beliau The Weight of Our Sky (TWOOS) semasa ia dilancarkan pada tahun 2019. Kisah mengenai 13 Mei ini ditulis untuk pembaca muda, namun kami yang, uh, *tak berapa* muda pun terpesona dengan penulisan beliau. TWOOS memenangi Freeman Book Award dalam kategori Young Adult/High School Literature, dan novel tersebut telah diterjemah ke Bahasa Malaysia (Di Situ Langit Dijunjung) serta diaptasi sebagai kartun atas talian (webtoon). Novel kedua beliau, The Girl and Her Ghost, merupakan finalis bagi anugerah Kirkus Prize pada tahun 2020.

Bukan itu sahaja – Hanna juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang mengepalai kempen tanda pagar yang popular di Twitterjaya: #PulangUndi dan #KitaJagaKita, mengajak orang ramai untuk memberikan bantuan membawa pulang rakyat Malaysia untuk PRU14 dan bantuan untuk rakyat semasa pelbagai jenis PKP yang kita lalui. Kami tabik jiwa besar beliau untuk negara, dan dedikasi beliau bercerita gaya Malaysia di pentas antarabangsa.

Lohappriya Manisegaran

Lohappriya

(Foto: Varnam.my)

Terbang tinggi, sis! Anak jati Klang, Lohappriya, merupakan wanita Malaysia dari kaum India pertama menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia. Beliau menerima Flight Wings pada 9 Oktober 2020. Beliau membuktikan bahawa kerja keras dan semangat yang membara boleh bawa seseorang pergi jauh – hingga ke awan. Kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau!

Farah Ann Binti Abdul Hadi

farah

(Foto: GenerationT)

Seorang ahli gimnastik semenjak berumur 3 tahun, perjalanan Farah Ann dalam dunia sukan dipenuhi dengan kejayaan dan cabaran. Beliau hampir bersara disebabkan kecederaan bahu pada tahun 2011, dan beliau berehat seketika dari menyertai pertandingan pada tahun 2013. Beliau kembali mengaum dan memenangi dua pingat emas pertama di kejohanan Sukan SEA 2015 untuk kategori berpasukan dan senaman lantai. Kami tak sabar menunggu penampilan pertama beliau di kejohanan Olimpik Tokyo sebagai wakil gimnastik ketiga Malaysia dalam kejohanan sukan paling berprestij tersebut. Ada segelintir orang yang mungkin ada masalah dengan gaya dan rekod beliau – namun kami hanya teruja untuk melihat beliau naik ke podium sekali lagi.

Adele Lim

adelelim

(Foto: LA Times)

Sekali pandang, anda mungkin tidak kenal Adele, tetapi beliau merupakan orang kuat untuk pelbagai rancangan TV kegemaran anda dari era 2000-an sehingga 2010-an. Beliau juga merupakan penulis skrin bersama untuk filem Crazy Rich Asians pada tahun 2018 (yang dibintangi Tan Sri Michelle Yeoh). Semasa menghasilkan sekuel untuk filem yang sama, beliau menyedari bahawa penulis skrin lelaki menerima 8-10 kali ganda bayaran berbanding apa yang beliau terima. Hasil penulisan skrin beliau yang terkini adalah untuk Disney’s Raya: The Last Dragon, di mana kami tak sabar untuk tonton di pawagam setelah perintah kawalan pergerakan diturunkan. Kami tabik kendiri positif beliau dalam mempertahankan hak bayaran dan kualiti kerja!

Qyira Yusri

qyira

(Foto: Me.reka)

Qyira merupakan pengasas dan Pengarah Pendidikan bagi UNDI 18, sebuah keusahawan sosial yang memberi tumpuan kepada mendidik pengundi dan terlibat dalam polisi awam yang berkaitan dengan belia. Ia bermula sebagai pergerakan pelajar untuk memperjuangkan penurunan had umur minimum pengundi di Malaysia daripada 21 tahun ke 18 tahun. Selepas 3 tahun melobi, bekerja dengan organisasi pelajar dan belia, dan menyampaikan suara belia Malaysia, usaha mereka membuahkan hasil! Sebuah Penggubalan Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi di Malaysia telah diluluskan sebulat suara pada tahun 2019. UNDI 18 juga telah melancarkan #111Initiative, iaitu sebuah projek yang mensasarkan perwakilan Dewan Rakyat yang terdiri daripada 50% wakil rakyat wanita.

Dr. Nur Amalina Che Bakri

amalinabakri

(Foto: Malay Mail)

Setelah melakarkan rekod 17 A1s pada SPM 2004 (dan menaikkan tahap yang perlu  dikejar  terlalu tinggi  untuk kita semua), bakal doktor ini meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di UK, di mana kini beliau meneruskan kerjaya sebagai ahli perubatan di negara tersebut. Beliau membuktikan kemahiran beliau pada tahun 2019 sebagai salah seorang daripada pasukan yang menyelamatkan seorang bayi rakyat Malaysia berusia 9 bulan dengan membuang Germ Cell Tumour seberat 200g daripada rahang bayi tersebut. Walaupun acap kali dikritik disebabkan penampilan dan kenyataan beliau, beliau terus cemerlang dalam pekerjaan dan terus membetulkan salah faham berkaitan perubatan di media sosial. Doktor, anda patut berbangga dengan apa yang anda capai kerana kami pun fikir anda layak menerima segalanya.

Yuna

yuna

(Foto: Wikipedia)

Tiada siapa yang tak ada sedikit “Crush” kepada Yuna sekarang ini. Penyanyi, penulis lagu dan pengarah, Yuna atau nama sebenar Yunalis binti Mat Zara’ai, bermula sebagai sensasi di Myspace sebelum melonjak menjadi artis yang memenangi pelbagai anugerah, dicalonkan untuk anugerah BET, dan terus bersinar sambil mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Tujuh album, empat konsert jelajah dan pelbagai lagu hit telah dicapai oleh beliau.

Jika kita teliti kisah dan perjalanan kesemua ikon di atas, apa yang boleh disimpulkan adalah jika kita yakin dan terus berjalan ke hadapan, kita semua boleh berada pada kelas tersendiri dan melakukan apa yang kita mahu dengan lebih baik. Bayangkan betapa indahnya masa hadapan jika kita semua memberi tumpuan untuk mendapatkan kesaksamaan – hak, bayaran, peluang untuk semua jantina.

Pada tahun 2021, tema Hari Wanita Antarabangsa adalah #ChooseToChallenge, dan ia mengingatkan kita bahawa perjuangan menentang penindasan bermula dengan perlakuan kita sendiri. Mari sertai Yoodo dalam meraikan apa sahaja yang boleh menjadikan para wanita dalam hidup anda unik, berkemampuan dan disayangi – dan bantu mereka serta seluruh rakyat Malaysia melakukannya dengan lebih baik!